KONSEP
Pendidikan menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ialah usaha yang berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi indidvidu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap kesejahteraan dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Antara proses atau pelaksanaan pendidikan menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ialah, mendidik secara menyeluruh dan bersepadu. Perkembangan keempat-empat potensi iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani adalah bagi membolehkan penguasaan ilmu, kemahiran, nilai, budaya dan kepercayaan. Kesemua elemen ini diperlukan oleh manusia bagi memenuhi pelbagai keperluan kehidupannya. Oleh itu, perkembangan keempat-empat potensi tersebut hendaklah dilakukan secara menyeluruh kerana kesemuanya adalah sama penting. Kesemua potensi juga hendaklah dihubungkaitkan antara satu sama lain dan dikembangkan secara bersepadu bukannya satu persatu. Perkembangan potensi-potensi ini adalah berpaksikan prinsip ketuhanan iaitu penguasaan ilmu, kemahiran, nilai, budaya dan kepercayaan tidak boleh bertentangan dengan prinsip ketuhanan.
Selain itu, membangunkan pelajar secara seimbang dan harmonis. Keseimbangan adalah penting bagi memastikan tiada mana-mana aspek yang diberi perhatian lebih dan ada pula aspek tertentu yang terabai. Manusia yang sejahtera merupakan manusia yang pembangunan dirinya berlaku secara menyeluruh melibatkan semua potensi diri. Dalam hal ini, ia boleh jadi insan yang berjaya dalam kerjayanya, bersyukur dengan nikmat yang diterima tetapi pada yang sama sedia berhadapan dengan segala cabaran dan rintangan yang dihadapi, bertingkah laku baik, tidak mementingkan diri sendiri dan sedia membantu orang lain serta prihatin. Sebaliknya, seesorang yang bijaksana dan mampu menjawat jawatan yang memberikan pendapatan lumayan belum tentu kehidupannya harmonis jika pada masa yang sama tidak berbudi pekerti mulia, tidak menghormati orang lain dan tidak menunaikan tuntutan agama. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) jelas menegaskan pembangunan insan hendaklah seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi membolehkan manusia menjalani kehidupan dengan harmonis, seterusnya membentuk keluarga, masyarakat dan negara yang aman dan damai.
Comments
Post a Comment